Friday, March 13, 2009

Fatamorgana

Malam ini bulan gelap,
tiada cahaya melimpahi bumi,
segalanya gelap,
gelap, sepi, dan mati.

Malam ini hatiku malap,
tiada cinta bertakhta dihati,
segalanya dipenuhi benci,
benci, pergi, dan sendiri.

Esok, mentari kembali mencipta fatamorgana,
Hati berkata:
"Berhentilah melangkah,
fatamorgana bukan untukmu,
selagi kau berdiri di sini"

Thursday, March 12, 2009

Kembara

Aku mengembara
aku bertemu persimpangan
jalannya dua hala
di kiri denai
di kanan lebuh
mana yang harus aku tuju
kiri atau kanan?


Benarkah itu persoalannya?

Atau aku harus bertanya
Apakah yang akan diturut.
Hati atau akal?

Ku tanya kepada hati
hatiku berkata kiri
"kerana jalan yang mudah,
bukanlah jalan kembara hati"

Dan ku tanya kepada akal
akalku menunjuk ke kanan
"kerana berputar aku,
untuk memudahkan caramu"


Tapi,
kiri, kanan, hati, atau akal
apakah sekadar itu persoalan yang ada?

Lelah ku renung
kubiarkan saja kaki melangkah

kerana aku hanya pengembara
apa saja yang akan kutemu
apa sahaja yang ada dihadapan itu
suatu hari aku tetap harus kembali

akan aku lewati semula persimpangan ini
membawa kisah dan rahsia
ke tempat asalku...

Gila (kepada yang tak punya penjara)

Aku sendiri di kamar sepi
bercakap keras kepada hati
setiap kata yang diucap
dilantunkan dinding dingin
bergema di kuping

Aku menulis di kamar ini
di atas kertas putih
tercoret aksara yang menjadi kata dan puisi
menyatakan isi hati
cuba menuliskan nurani
mahu menzahirkan naluri

Aku berfikir di kamar ini
tentang hidup yang seakan mati
tentang nasib yang sentiasa memaki
selamanyakah begini..

Kesepian kamar ini
membuat aku seakan gila

Benarkah aku yang gila
atau mereka yang meletakkan aku disini
yang mengamalkan kegilaan...

Thursday, January 29, 2009

Cermin Diri

Aku dihadapanmu
Kita bertentangan
Masing-masing
Kita menegakkan kata-kata


Aku tunding ke kanan
Kau tunjuk ke kanan


Aku tetap akan katakan
Kanan akulah yang benar
Kau juga tetap katakan
Kanan kaulah yang benar
Masing-masing
Kita menegakkan formula-formula


Aku katakan
Aku punya maksud yang baik
Pada jelata


Kau katakan
Kau punya niat yang tulus
Pada semua


Tapi kebaikan dan ketulusan kita
Akan tetap bercanggah
Kerana penglihatan kau adalah dibelakangku
Dan pengamatan aku ada dibelakangmu
Kerana kita,
Bertentangan mata,badan,jiwa, dan kata


Tapi kebaikan dan ketulusan kita
Akan tetap bercanggah
Kerana kita enggan seiring,
Memandang cermin,
Dan melihat kebodohan diri sendiri...

Thursday, December 18, 2008

Tidak Sekali Ini

Malam merangkak pagi
Mata disengkang sepi
Gita cinta masih berbunyi
Menyanyikan kisah,
Bagaimana harapan diciptakan hati

Walau ada benci
Tak mahu kulihat kau pergi
Tidak sekali ini

Tidak
Bila dibumi,
hanya berlagu sepi

Tidak
Bila dilangit,
Aku cuba bayangkan kau tetap sendiri

Tidak sekali ini,
Bila di antariksa
Cinta dan kata terawangan

Akankah terhempas lagi
Atau kau ‘kan berada dalam dakapan?

Kau putuskanlah
Sekali ini…

Desember 17, 2008
4:07 pagi

Saturday, September 20, 2008

Bayangan

Ada bayangan
Di luar jendela waktu

Membawa kisah
Tentang luka yang beku

Pergi dengan cita
Walau ada yang belum tentu

Yang pasti bayangan sentiasa 'kan ada
Membantu manusia meniti zaman manusia

Monday, September 15, 2008

Detik

Detik membentuk
Titis-titis sepanjang zaman
Dan menanda
Siang, Malam,Manusia...

Namun detik pasti akan berhenti
Dan tika itu kita bertanya
Di detik manakah
Kita mahu berfikir...